TEKNIK

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Teknik adalah unsur terkecil dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, ia terkandung dalam sesuatu kaedah. Ia merangkumi aktiviti, pelakuan dan kemahiran guru yang digunakan untuk menyampaikan isi pelajaran dalam pengajaran. 

Teknik ialah cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran. Teknik yang digunakan oleh guru akan menjadikan pengajaran itu lebih bermakna dan menyeronokkan. Seseorang guru mestilah pandai menggunakan teknik supaya murid lebih berminat dan timbul motivasi untuk belajar. Dalam setiap pengajaran sememangnya terdapat pelbagai cara dan teknik yang boleh digunakan, namun begitu tiada satu teknik pun yang dianggap paling sesuai dan dapat digunakan untuk semua keadaan atau terbaik untuk semua sesi pengajaran. Teknik yang digunakan hendaklah bergantung kepada keadaan dan berdasarkan kepada minat pelajar serta bahan pengajaran yang hendak disampaikan (Rashid et al 1996). Teknik pengajaran dan pembelajaran ini mempunyai beberapa objektif, antaranya ialah:
  • untuk menyampaikan bahan pengajaran dengan cara yang boleh menarik minat murid-murid dan untuk mengekalkan perhatian serta mencungkil rasa ingin tahu mereka. 
  • untuk membolehkan murid mencapai objektif-objektif pengajaran yang dipelajari dengan mudah dan berkesan. 
Terdapat banyak teknik pengajaran yang boleh digunakan dan diaplikasikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran seperti teknik main peranan, teknik bercerita, teknik soal jawab, teknik perbincangan, teknik drama dan teknik forum.