MODEL

MODEL-MODEL PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Model pengajaran mengandungi unsur-unsur penting yang dapat memberi gambaran tentang proses pengajaran. Pada masa dahulu, pengajaran dianggap sebagai satu proses yang mudah iaitu pengajaran sebagai suatu penyampaian pengetahuan daripada guru kepada murid. Situasi ini dinamakan proses pengajaran sehala iaitu guru sebagai pengajar menyalurkan pengetahuannya kepada murid yang menerima segala-galanya, seperti yang ditunjukkan pada rajah di bawah.


Rajah 1
  Proses Pengajaran Sehala
Apabila pengajaran sedemikian berlaku, guru merupakan sebagai individu yang aktif manakala murid menerima secara pasif. Tidak terdapat sebarang interaksi antara guru dengan muridnya. Tanpa interaksi antara guru dengan muridnya, maka sukar untuk menentukan sama ada proses pembelajaran telah berlaku atau tidak. Murid tidak diberikan peranan aktif sebagai individu yang boleh menentukan pembelajarannya.

Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah daripada keadaan seperti itu. Pengajaran lebih disifatkan satu proses yang dengan sengaja dirancangkan dengan objektif dan isi yang dipilih khas untuk disesuaikan dengan keperluan murid. Untuk menentukan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru-guru haruslah mengambil pelbagai pertimbangan seperti memilih model-model pengajaran yang boleh memberi kesan positif pada pengajarannya di samping pemilihan kaedah, teknik dan pendekatan. Di sini dibincangkan beberapa model pengajaran dan pembelajaran untuk pertimbangan guru. Setiap model-model yang dicadangkan mempunyai kekuatan tersendiri dalam membantu guru-guru dalam proses pengajarannya (Mok Soon Sang, 2003).         

Model Pengajaran Asas

Model ini dikemukakan oleh Robert Glaser (1962). Model ini dianggap sebagai model asas yang dapat menggambarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Model Glaser membahagikan proses pengajaran kepada empat bahagian seperti dalam rajah berikut;


Rajah 2 Model Pengajaran Asas Glaser
Mengikut model Rajah 2 proses pengajaran bermula dengan guru menentukan objektifnya. 

Objektif Pengajaran

Objektif pengajaran ialah perlakuan yang hendak dicapai murid setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Ia merupakan pernyataan tentang perlakuan murid yang dapat diperhatikan dan dapat diukur setelah langkah pengajaran dijalankan. Pernyataan yang jelas tentang perlakuan murid yang hendak dicapai membolehkan guru merancang langkah-langkah pengajaran dan membuat penilaian ke atas keberkesanan pengajarannya.

Tingkah Laku Sedia

Tingkah laku sedia murid merujuk kepada pengetahuan, kemahiran atau sikap yang sudah ada pada seseorang murid. Penentuan tingkah laku sedia murid membolehkan guru menilai sama ada objektif yang telah dirancang itu sesuai atau tidak. Sesuatu pembelajaran baru akan menjadi lebih bermakna sekiranya dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid, kebolehan serta minat mereka.

Prosedur Pengajaran

Bahagian ini menerangkan tentang proses pengajaran. Prosedur pengajaran berbeza mengikut objektif pengajaran yang hendak dicapai. Bahan pengajaran dan alat bantu mengajar dipilih supaya sesuai dengan objektif pengajaran. Kaedah mengajar yang sesuai hendaklah dirancang supaya isi pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan. Aktiviti pengajaran seperti memberi keterangan, menyoal, merangsang, menarik perhatian dilaksanakan di peringkat ini. Murid juga terlibat dengan aktiviti pembelajaran seperti memerhati, menumpukan perhatian , berbincang dan menyelesaikan masalah.

Penilaian Prestasi

Pada peringkat ini, pemerhatian dan ujian-ujian dijalankan untuk menyemak setakat mana murid telah mencapai objektif pengajaran. Dengan adanya penilaian, guru mendapat maklum balas tentang hasil pengajarannya. Sekiranya penilaian menunjukkan bahawa murid tidak mencapai tahap yang memuaskan, maka guru perlu menyemak kembali setiap komponen dalam modul pengajaran di atas. Jika perlu komponen yang didapati kurang tepat dan sesuai perlu dikaji atau diubah suai. Contohya, kaedah pengajaran kuliah dalam pembelajaran tidak difahami murid, maka guru perlu menukarnya kepada kaedah perbincangan atau lain-lain yang memudahkan murid menguasai isi pelajaran. Kekuatan model Glaser ini boleh dijadikan panduan asas bagi guru dalam tugas mengajarnya. Bagaimanapun, model ini boleh mejadi lebih bermakna sekiranya ditambah dengan unsur interaksi guru-murid dan langkah-langkah pemulihan sekiranya perlu bagi murid-murid tertentu.

Model Inkuiri

Pendekatan inkuiri membolehkan murid menggunakan keperluan ingin tahu mereka untuk meneroka sesuatu bidang ilmu. Matlamat dalam pendekatan ini adalah mengembangkan kemahiran dan disiplin intelek yang perlu untuk membangkitkan soalan dan mencari jawapan yang berpunca daripada rasa ingin tahu mereka. Sesuatu pengajaran secara inkuiri dimulakan dengan menyediakan satu situasi yang membingungkan. Individu yang menghadapi situasi sedemikian (secara semula jadi) bermotivasi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam model ini, terdapat lima fasa seperti rajah di bawah:


Rajah 3 Lima Fasa Model Inkuiri
Keterangan model inkuiri :

Fasa 1Fasa satu, guru perlu mengemukakan situasi bermasalah dan menerangkan atur cara inkuiri kepada murid. Pembentukan satu kejadian seperti menunjukkan bagaimana sebatang pisau dibuat daripada dua jenis logam yang apabila dipanaskan ia menjadi bengkok, memerlukan murid berfikir. Matlamat akhirnya dalam pengajaran seperti ini adalah bertujuan untuk murid mengalami pembentukan pengetahuan baru. 

Fasa 2Melibatkan pemeriksaan proses iaitu murid mengumpulkan maklumat tentang kejadian yang dilihat atau alami. 

Fasa 3Uji kaji dijalankan oleh murid dengan memasukkan elemen-elemen baru dalam situasi untuk melihat sama ada kejadian itu berlaku dengan cara lain. Di sini murid mungkin bertanya tentang objek dan guru harus peka serta sedar tentang jenis maklumat yang diperlukan dan mengubah corak penyoalan.

Fasa 4Guru meminta murid menyusun data untuk membentuk satu keterangan. Mungkin ada murid yang sukar untuk memahami maklumat dan membentuk pemahaman mengenainya.

Fasa 5Murid diminta menganalisis corak inkuiri mereka. Mereka memerlukan soalan yang berkesan, soalan yang produktif dan memerlukan maklumat lanjut daripada guru.

Walaupun model inkuiri digunakan pada mulanya dalam bidang sains, namun atur caranya juga sesuai untuk semua bidang. Contohnya, kemahiran hidup, bagaimana proses-proses tumbesaran pokok atau tanaman daripada hanya sebutir biji benih yang kering, boleh dijadikan situasi yang membingungkan murid. 

Model Sim

Model sim terdapat empat unsur penting dalam pengajaran iaitu guru, pelajar, isi pelajaran dan objektif pengajaran. Unsur-unsur tersebut boleh berinteraksi antara satu sama lain seperti dalam rajah berikut: 

Rajah 4 Model Sim
Dalam membuat persediaan pengajaran, model sim mengandungi elemen-elemen guru, objektif dan isi pelajaran. Ia perlu dititikberatkan dengan mengambil kira objektif yang hendak dicapai dan isi pelajaran yang sesuai seperti rajah di bawah:


Rajah 5  Persediaan untuk Pengajaran Guru
Murid menjadi fokus dalam pencapaian objektif pembelajaran. Dalam menentukan objektif dan isi pelajaran , fakta murid seperti kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid perlu diambil kira. Isi pelajaran termasuk media dan teknik digunakan untuk penyampaian isi pelajaran itu. Isi pelajaran ditentukan oleh guru setelah mengambil kira tentang kebolehan murid. Dalam setiap pengajaran, objektif dinilai dari segi pencapaiannya oleh murid dan guru menggunakannya untuk memperbaiki pengajarannya. Model Sim berfaedah kepada guru kerana membantu guru merancang pengajarannya dengan mengambil kira unsur-unsur penting seperti menentukan bahan, cara mengajar dan penilaian.

Model Pembelajaran Penguasaan

Bloom (1968) merupakan pengasas kepada model pembelajaran ini. Model Pembelajaran Penguasaan adalah suatu proses pengajaran yang boleh digunakan apabila seseorang guru ingin mengajar semua isi kandungan kepada murid di dalam kelas. Model ini memerlukan guru menstrukturkan bahan pengajaran agar setiap murid dapat menguasai sesuatu bidang mengikut masa dan keupayaan diri masing-masing. Model ini juga mengutarakan fenomena ‘self-fulfiling prophecy’ iaitu murid percaya bahawa semua orang boleh berjaya dan kebanyakan murid boleh mempelajari apa yang diajar di sekolah.


Jadual 1
  Jadual Pembelajaran Penguasaan
Bagi melaksanakan pembelajaran penguasaan, objektif pengajaran haruslah jelas dan isi kandungan pengajaran dicerakinkan kepada beberapa bahagian yang kecil. Isi pengajaran juga mestilah disampaikan mengikut tahap-tahap individu dan dalam susunan tertib unit pembelajaran yang meningkat. Di samping itu, penilaian secara individu perlu dibuat, begitu juga pemantauan kemajuan murid.

Penilaian diagnostik merupakan jenis penilaian yang kerap digunakan dalam pembelajaran penguasaan. Guru diminta untuk membina dan mentadbir ujian-ujian pendek untuk menentukan penguasaan objektif pembelajaran harian oleh murid. Murid yang mempunyai 15% kesalahan akan mengulangi tugasan mereka sehingga mereka mencapai penguasaan yang lebih tinggi. Bagi membantu murid mencapai penguasaan isi kandungan, guru boleh merancang kerja-kerja secara individu seperti bacaan khas, tugasan dalam lembaran kerja dan permainan komputer. Selain itu, guru boleh mengadakan tutorial rakan sebaya, kumpulan kecil pembelajaran dan kumpulan permainan akademik. Bagi murid yang berjaya menguasai isi kandungan, mereka akan diberikan tugasan-tugasan pengayaan.

Model Pembelajaran koperatif

Model Pembelajaran Koperatif mengutarakan kerjasama di antara ahli-ahli dalam kumpulan di samping meningkatkan pencapaian akademik murid. Terdapat tiga matlamat utama dalam model ini iaitu:
  • untuk memperbaiki kefahaman dan kemahiran murid yang diajar
  • untuk membolehkan murid membentuk kemahiran kumpulan berkoperatif dan seterusnya menghormati perbezaan individu dalam kelas
  • untuk membolehkan murid mementingkan nilai terhadap pembelajaran dan membentuk sikap positif terhadap murid pelbagai kaum

Jadual 2
  Jadual Pembelajaran Koperatif
Di antara teori-teori pendidikan dalam model ini ialah:
  • ganjaran berkumpulan–murid belajar dalam kumpulan dan akan memperoleh faedah-faedah tertentu. Melalui pembelajaran berkumpulan, murid boleh bekerjasama dalam kumpulan masing-masing dan bersaing secara sihat dengan kumpulan lain.
  • mengurangkan stereotaip–murid yang mempunyai peluang untuk bekerja dalam kumpulan dengan murid yang lain boleh mengurangkan sikap stereotaip mengenai ras, jantina, pelajar yang berpencapaian rendah atau cacat.
Hasil daripada pembelajaran koperatif, didapati bahawa murid yang berpencapaian tinggi boleh mencapai tahap kefahaman yang lebih tinggi dalam proses membantu murid yang berpencapaian rendah. Model ini juga dianggap boleh mewujudkan motivasi di kalangan murid khususnya mereka yang berpencapaian rendah. Selain itu, mereka yang terlibat dalam pembelajaran koperatif menunjukkan konsep kendiri yang tinggi.

Model Teori Pengajaran Dalam Amalan

Murid yang diajar mengikut ‘teori pengajaran dalam amalan’ adalah berdasarkan kepada Hunter (1991) . Beliau menyatakan bahawa pengajaran meliputi suatu siri keputusan profesional yang mempengaruhi tahap pembelajaran seseorang murid. Keputusan-keputusan ini adalah berkenaan dengan isi kandungan pelajaran, bagaimana murid mencapai pembelajaran melalui aktiviti tertentu dan tingkah laku guru yang spesifik dalam kelas.

Hunter percaya bahawa konseptualisasi pengajaran dengan ketiga-tiga keputusan tersebut boleh membekalkan suatu rangka rujukan . Ini bermakna keputusan pengajaran dan tindakan boleh diterangkan, diinterpretasi, dibincang, dinilai dan diperbaiki. Program Hunter memberikan suatu reka bentuk yang mengandungi tujuh unsur untuk mengajar suatu pelajaran. Unsur-unsur dalam pengajaran ini ialah:
  • set jangkaan (anticipatory set) – membolehkan murid menjangka apa yang akan dipelajari
  • objektif dan tujuan
  • input – murid mendapat maklumat baru
  • modeling – guru memberikan contoh-contoh, demonstrasi, idea, 
  • menguji kefahaman – guru menguji di celah-celah pelajaran
  • latihan berpandu – murid berlatih dengan skala yang dipelajari dan diselia oleh guru
  • latihan bebas – murid membuat tugasan yang diberi oleh guru tentang apa yang telah dipelajari secara bebas

Jadual 3
  Jadual Teori Pengajaran dan Amalan
Semasa guru hendak membuat keputusan, guru tersebut haruslah membuat keputusan berasaskan kepada pengajaran yang berkesan. Ini seterusnya memerlukan guru memahami sains pengajaran kerana ini akan menjadi asas untuk guru dalam membuat keputusan. Di samping itu, guru haruslah berkemahiran untuk melaksanakan keputusan yang tepat. Model ini boleh dipraktikkan dengan merancang soalan yang diperoleh daripada tiga jenis keputusan di atas iaitu:
  • Apakah yang murid akan belajar?
  • Bagaimanakah murid akan belajar?
  • Keputusan yang bersangkutan dengan kadar pembelajaran, pemindahan pembelajaran kepada situasi yang baru.

Model Pembelajaran Memproses Maklumat


Menurut Lerner (2003) model pembelajaran memproses maklumat menerangkan pengaliran maklumat semasa proses pembelajaran, iaitu bermula dari penerimaan maklumat melalui proses di dalam otak sehinggalah menghasilkan tindakan. Pusat kepada model pembelajaran memproses maklumat ialah kepelbagaian bahagian sistem daya ingatan. Bahagian ini mempunyai sistem penerimaan maklumat yang terbahagi kepada tiga jenis ingatan iaitu:
  • penerimaan daya deria-rangsangan
  • daya ingatan jangka pendek
  • daya ingatan jangka panjang


Daya Deria Rangsangan

Maklumat diterima melalui daya rangsangan penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Rangsangan yang diterima adalah sama ada secara dalaman atau luaran. Teori memproses maklumat sangat penting kepada pengajaran guru. Ini adalah kerana ia dapat membantu guru mengatasi masalah ketidakupayaan pembelajaran murid mereka. Di samping itu mereka dapat membuat perancangan terhadap pengajaran di dalam bilik darjah.

Daya Ingatan Jangka Pendek

Daya ingatan jangka pendek dikenali juga dengan ingatan sementara. Apabila melalui proses ini, seseorang itu akan mempunyai kesedaran untuk memahami maklumat dan seterusnya bertindak balas terhadap maklumat yang diterima. Apabila seseorang itu memikirkan masalah yang baru, maklumat baru akan menggantikan maklumat lama. Kepentingan kepada pengajaran guru ialah, guru boleh mengenal pasti maklumat yang disimpan oleh murid di dalam jangka masa waktu yang diperlukan. Guru sepatutnya merancang aktiviti bagi membolehkan isi pelajaran yang diajar bukan sahaja berada di dalam daya ingatan jangka pendek murid, tetapi sebaliknya terus disimpan di dalam ingatan jangka panjang.

Daya Ingatan Jangka Panjang Berkekalan

Daya ingatan jangka panjang adalah berkekalan. Bagi mempelajari mengekalkan maklumat yang diperolehi untuk satu-satu tempoh masa yang panjang, maklumat perlu dialihkan dari ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Terdapat dua jenis ingatan jangka panjang iaitu ingatan makna dan pengalaman.

Kepentingannya kepada pengajaran ialah, cara bagaimana maklumat disimpan di dalam daya ingatan jangka panjang membantu kita untuk menggunakan maklumat apabila diperlukan. Melalui teknik pengajaran yang jelas, sistematik dan menggunakan kaedah yang menarik pasti dapat membantu murid mengingat kembali isi pelajaran yang telah dipelajari. Strategi-strategi yang dapat membantu murid meningkatkan daya ingatan jangka panjang mereka ialah sistem penyusunan maklumat, menggunakan pengetahuan sedia ada dan membuatkan maklumat yang diperolehi lebih bermakna.

Model Systematic Approach for Adapting the Learning Environmet (SAALE)

Model SAALE telah diperkenal dan digunakan sejak awal tahun 1970an lagi. Ia merupakan satu reka bentuk (design) di mana kandungan kurikulum mungkin memerlukan perubahan (adaptasi) untuk membolehkan murid-murid kurang upaya mendapat kurikulum pendidikan biasa . Untuk memenuhi matlamat pendidikan kepada murid kurang upaya, maka Reauthorization of the Individuals with Disabilities Education Act, 1997 (IDEA), telah menyuarakan kepada sistem pendidikan sekarang supaya memberi peluang dan akses yang lebih luas kepada pelajar kurang upaya (Wood 2002) . Lou Danielson (1999), menegaskan kepada konsep “universal design” (satu corak yang boleh diterima pakai oleh semua) sebagai amalan yang dapat menolong kanak-kanak khas ini mencapai matlamat pendidikannya. Penggunaan model SAALE ini telah memberi satu pencapaian bermakna terhadap pendidikan dalam kepelbagaian populasi . Model ini adalah model adaptasi. Ia mengandungi tiga komponen besar adaptasi iaitu:
  • Adaptasi persekitaran
  • Adaptasi pengajaran
  • Adaptasi penilaian

Adaptasi Persekitaran

Adaptasi persekitaran melibatkan guru melakukan pengubahsuaian persekitaran sosioemosi, persekitaran tingkah laku dan persekitaran fizikal.

Adaptasi Persekitaran Pengajaran

Adaptasi persekitaran pengajaran ialah ia melibatkan guru melakukan pengubahsuaian terhadap perancangan pengajaran, teknik pengajaran, format kandungan pengajaran dan media pengajaran.

Dalam konteks adaptasi persekitaran pengajaran ini , model ini menekankan bahawa seseorang guru haruslah melakukan penyesuaian yang spesifik yang boleh dilakukan pada mana-mana titik atau tempat di mana murid menghadapi kesukaran dalam teknik pengajaran, kemahiran pelajaran atau kandungan pengajaran. Konsep ketidaksesuaian dalam pengajaran adalah sangat penting difahami kerana ketidaksesuaian yang berlaku tidak disebabkan oleh murid mahupun pendidik. Ketidaksesuaian hanyalah satu keadaan apabila murid tidak berjaya kerana pendidik mempunyai harapan dan sangkaan yang tidak sepadan dengan keupayaan anak didiknya. Sebagai contoh muridnya tidak dapat menyalin di papan tulis, sedangkan guru menyuruhnya menulis atau menyalin juga, maka berlakulah ketidaksesuaian. Oleh sebab itu sebagai guru, kita mestilah mencari punca ketidaksesuaian tersebut dan memperkembang dan mengimplementasikan intervensi yang bersesuaian dengan murid.

Adaptasi juga boleh dilakukan pada rancangan pengajaran yang memfokuskan kepada satu sahaja objektif yang spesifik dan jelas, adaptasi teknik pengajaran yang mementingkan informasi input iaitu , memberikan maklumat bergantung kepada keupayaan murid itu, adaptasi format isi kandungan yang tidak terlalu banyak, dan penggunaan media seperti audio visual dan sebagainya. 

Adaptasi Penilaian

Adaptasi penilaian merangkumi penilaian murid dan penggredan. Adaptasi penilaian bermaksud bahawa penilaian yang dilakukan adalah menyeluruh. Penilaian kurikulum patut dilakukan dari masa ke semasa agar bersesuaian dengan murid khas. Dalam hal ini, guru perlu memastikan aspek keadilan diambil kira bagi memastikan semua murid mendapat faedah yang sama bagi pelaksanaan suatu kurikulum itu.


Rajah 6  Model SAALE
Model Pembelajaran Masteri

Pembelajaran Masteri adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Melalui pembelajaran masteri murid diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran.

Pembelajaran Masteri (Hunter 1991) merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan penentuan hasil pembelajaran, dan diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran. Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan semua murid berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. Setelah dibuat penilaian, murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pengayaan dan bagi murid yang belum menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pemulihan.

Dalam Pembelajaran Masteri terdapat beberapa langkah yang perlu Dilaksanakan oleh guru . Langkah tersebut digambarkan melalui model berikut:


Carta 1
  Carta Pembelajaran Masteri
Dalam pengajaran dan pembelajaran masteri, beberapa perkara perlu diketahui oleh guru. Antaranya:
  • kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza
  • kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza
  • kemudahan yang ada
  • masa yang diperuntukan
Dengan mengetahui kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran yang juga berbeza dan pelbagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan, murid akan dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu, guru seharusnya mengenali murid mereka.

Model Ekspositori

Ekspositori bermaksud memberi penerangan yang jelas dan terperinci. Dalam konteks pengajaran, ekspositori merupakan penyampaian maklumat atau isi kandungan pelajaran secara langsung kepada murid-murid di dalam kelas. Oleh itu, kaedah ekspositori ialah cara penyampaian pelajaran melalui penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan tujuan mengajar sesuatu. Dalam model ini, guru memberi penerangan terlebih dahulu dan murid mendengar dengan teliti hingga mereka memahami dan mengingatinya atau merekodkan isi pentingnya dalam buku nota mereka.   

Rajah 7  Model Ekspositori

Cara-cara penyampaian dengan menggunakan model ekspositori adalah dihuraikan seperti berikut: 
  • menerang, menginterpretasi dan menghuraikan idea dan konsep daripada buku teks. 
  • menerangkan sambil mendemonstrasikan cara melukis atau membina bentuk -bentuk geometri. 
  • menerangkan langkah-langkah penyelesaian masalah berdasarkan kemahiran -kemahiran yang telah dipelajari. 
  • menerangkan sesuatu konsep dengan alat bantu mengajar. 

  1  2  3  4  5  6