PENDEKATAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN
Pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektifnya. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan satu pandangan atau pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaran . Ia bertujuan untuk memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan adanya pendekatan , guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip. Kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.
Menurut pendapat Edward M.Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Melalui pendapat ini dapatlah kita merumuskan bahawa pendekatan harus berlandaskan kepada model , prinsip atau teori pembelajaran . Contohnya;
- konkrit kepada abstrak
- mudah kepada kompleks
- keseluruhan kepada bahagian
- umum kepada spesifik (deduktif)
- spesifik kepada umum (induktif)
- dekat kepada jauh
- diketahui kepada belum diketahui
Pendekatan merupakan aksiomatik iaitu kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan. Pendekatan ini bolehlah dirumuskan sebagai satu teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan objektifnya. Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam kelas khas.
Pendekatan Koperatif
Pendekatan koperatif merupakan program yang berstruktur yang menekankan penguasaan kemahiran, konsep dan maklumat. Pendekatan pembelajaran koperatif memerlukan murid bekerjasama ke atas setiap satu ahli dalam kumpulannya. Kaedah ini mensasarkan matlamat dan pencapaian kumpulan yang hanya dapat dicapai jikalau semua ahli dalam kumpulan itu belajar semua objektif yang diajar.
Ada tiga konsep yang berkait dengan pendekatan ini iaitu, ganjaran kumpulan, kebertanggungjawaban indivdu, dan peluang yang sama untuk berjaya. Melalui ini, kumpulan akan mendapat pengiktirafan jika menunjukkan prestasi yang membanggakan. Oleh itu , ahli dalam kumpulan bertanggungjawab membantu sesama mereka dalam kumpulan demi untuk mengekalkan prestasi kumpulan mereka. Kaedah ini menunjukkan bahawa ganjaran kumpulan dan kebertanggungjawaban individu merupakan elemen penting untuk menghasilkan pencapaian kemahiran asas (Slavin, 1983). Dalam beberapa kajian, kesan atas pencapaian murid adalah meningkat hasil daripada tanggungjawab individu dan matlamat kumpulan.
Pendekatan Deduktif
Di sekolah guru mengajar murid menaakul secara deduktif dan induktif. Dari segi penaakulan deduktif , guru sering mengajukan kepada murid dengan peraturan am dan membantu mereka mengenal pasti contoh dan mengaplikasikan peraturan tadi. Dalam hal ini, dalam mata pelajaran kemahiran hidup pun boleh dilaksanakan penaakulan seperti guru ingin murid menyatakan apakah yang perlu kamu pakai untuk berkebun. Pelajar akan menyatakannya serta memberi contoh dan berupaya pula mengaplikasikannya apabila hendak berkebun. Ringkasnya prestasi murid selepas memberi contoh itu membawa kepada inferens bahawa murid telah menemui peraturan yang perlu untuk menyelesaikan dan peraturan ini boleh digeneralisasikan kepada situasi baru yang mempunyai kaitan yang sama.
Pendekatan Bermain Sambil Belajar
Kaedah bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada pengalaman sebenar secara langsung, terutama apabila mengajar konsep atau kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh menambah respon murid dan kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan dapat memahami atau mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan berkesan dan bermakna kecuali diberi peluang menyaksikan sendiri situasi sebenar dan menilai hasil aplikasi mereka dalam situasi bermasalah. Murid berpeluang dan boleh mempertingkat kebolehan empati, menambah kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan menganalisis situasi secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan situasi yang dilakukan secara spontan dengan arahan dan bahannya diambil daripada kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan berkesan, beberapa proses asas harus diikuti iaitu:
Pengenalan dan Kesediaan Murid
Murid berada dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya terhadap situasi sebelum ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan bermotivasi untuk mencuba cara yang baru. Contohnya membentangkan situasi bermasalah dengan beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid memilih cara bereaksi jika dia terlibat dalam situasi itu. Lepas itu murid dikehendaki menunjukkan empati atau yang boleh membina perasaan empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas menggunakan alatan tajam, apakah yang perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu menunjukkan tanda simpati dan cara membantunya.
Mendefinisikan Situasi dan Peranan
Situasi dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas, guru haruslah membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas supaya murid lebih memahami situasi serta dengan bimbingan berterusan. Selepas pemilihan murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan lakonan itu. Guru haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang masalah dan berasa selesa dalam peranannya.
Menyediakan Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis
Fasa ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya mereka tahu tanggungjawab mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta memberi pendapat tentang isu yang dilakonkan.
Bimbingan
Guru membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid melakonkan watak contohnya pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi masalah dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar dibimbing melakonkan setiap watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain.
Analisis dan Perbincangan
Pada peringkat ini, guru dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang keseluruhan tema yang dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti penyelesaian masalah secara spontan. Guru dan murid akan bersoal jawab tentangnya.
Pendekatan Secara Kumpulan, kelas dan Individu
Pendekatan kumpulan bermaksud murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap murid mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial.
Pendekatan pengajaran kelas pula, guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar. Murid akan memberi perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain. Selepas itu, pelajaran baru bermula, guru akan bertanyakan pelajaran lepas dan meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan fakta penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab soalan murid dan pelajaran berakhir. Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas, guru banyak membimbing murid dalam tugasan ini, memberi tugasan yang mampu dilakukan oleh murid. Apabila mmurid faham akan pelajarannya, maka penguasaan ilmu mereka akan diuji melalui kerja-kerja latihan.
Pendekatan individu pula menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil kira perbezaan murid. Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui pembelajaran mengikut kadar kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan disusun supaya pmurid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah untuk pengajaran individu seperti:
- Menggunakan panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam panduan itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan supaya pada akhir aktivti itu, objektif pembelajaran tercapai. Dengan cara ini, murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui kaedah ini, segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang perlu dilakukan.
- Bahan dan program juga merupakan kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah mempunyai sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid. Apabila murid memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul yang memberi peneguhan kepada tindakan murid tersebut. Maklumat baru, kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.
- Memberi tugasan individu yang sesuai dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti dan kualiti mengikut kebolehan dan keperluan murid.
- Menggunakan tahap kesukaran dalam program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam memperihalkan kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap kesukaran tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti kerja yang dibentuk untuk tahap itu dan kemajuannya dilapor secara berterusan.
Pendekatan Berasaskan Penyelidikan (Research-Based Approaches)
Meese (2001) dalam bukunya “Teaching Learners With Mild Disabilities Intergrating Research and Practice” Second Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan berasaskan penyelidikan, iaitu:
Pengajaran Secara Terus
Pengajaran ini berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara langsung dan menekankan kepada komponen-komponen kemahiran tertentu dalam memberi tugasan kepada murid. Ia juga berfokuskan kepada kecekapan guru pendidikan khas dalam merealisasikan teknik pengajaran untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.
Pendekatan ini telah diperkenalkan oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji ini telah menggunakan pengajaran secara berstruktur dan pendekatan secara berulang-ulang dalam mengajar kemahiran asas kepada pelajar. Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas, pengajaran dapat dijalankan dengan teratur, berfokuskan kepada kemahiran tertentu sahaja, cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang baik kepada murid.
Pengajaran Strategi Kognitif
Murid khas dengan ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk mengaplikasikan apa sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi baru atau aktiviti di luar kelas. Oleh itu, dengan adanya gabungan strategi pengajaran seperti modifikasi tingkah laku kognitif, strategi pengajaran dan pembelajaran dan strategi pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid memberi tumpuan, tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam menjalankan tugas dan dapat mengawal perkembangan individu.
Bimbingan Rakan Sebaya
Penglibatan rakan sebaya adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas. Ia juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam proses pengajaran dan pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi antara mereka dalam menjalankan tugas seperti mewujudkan kerjasama antara mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid untuk berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai.
Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar
Pendekatan ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam masalah yang dihadapi dalam keadaan sebenar atau aktiviti luar kelas seperti perkebunan. Murid akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebenar apabila murid tersebut telah didedahkan dengan pembelajaran yang berbentuk pengalaman sebenar yang akan berlaku di luar kelas apabila proses pengajaran pembelajaran dijalankan di dalam kelas.
Pendekatan Analisis Tugasan (Task Analysis)
Analisis tugasan sering digunakan dalam pendidikan khas. Ia boleh didefinisikan sebagai suatu proses yang melibatkan satu kemahiran tertentu atau objektif am dipecahkan pada langkah-langlah urutan yang kecil. Analisis tugasan dapat membantu pemahaman dan meningkatkan penguasaan kemahiran murid khas secara beransur-ansur. Sebagai contoh, mendail nombor telefon, melibatkan 12 kemahiran kecil seperti berikut:
- dapat mengenal nombor 0 hingga 9.
- dapat membezakan antara arah kanan dan kiri.
- dapat mengangkat gagang telefon dan menunjukkan bagaimana memegangnya.
- dapat menunjukkan ke arah mana untuk mendail dan menunjuk bagaimana meletakkan jari-jarinya ke dalam lubang-lubang.
- dapat menunjukkan ke arah halangan dail (bahagian penahan pergerakan dail).
- dapat memusing dail dengan jarinya sehingga halangan dail.
- dapat meletak jari ke dalam lubang yang padan dengan satu angka yang diberi.
- dapat mendail dua angka yang diberi dalam turutan.
- dapat mendail lebih angka dalam urutan hingga 10 angka. (03 - 89255039).
- dapat mengulangi langkah (10) semasa memegang gagang telefon berdekatan telinganya.
- dapat mengulangi langkah (8) dan (9) semasa memegang telefon berdekatan dengan telinganya.
- dapat mengulangi langkah (11) dalam susunan kiri ke kanan yang betul apabila diberikan nombor telefon yang penuh.
(Sumber: diubah suai daripada Larsen & Poplin, 1980)
Dalam pelaksanaan pengajaran analisis tugasan boleh diamalkan pada setiap kemahiran mata pelajaran lain. Analisis tugasan adalah perincian tentang sesuatu tugasan atau aktiviti. Tujuannya untuk menstruktur sesuatu aktiviti perlakuan itu dari mula hingga akhir, dan akhirnya murid dapat melakukannya satu persatu hinggalah menguasainya. Contoh, dalam kemahiran mengenal fungsi alatan perkebunan seperti cara menggunakan cangkul, analisis tugasan dibuat supaya murid tahu cara-cara menggunakan cangkul dan alatan lain. Secara keseluruhan, pendekatan yang efektif untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid khas adalah seperti berikut:
- Pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan secara terus dan berterusan dari hari ke hari.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah jelas dan terancang serta diajar dengan teratur.
- Proses pengajaran hendaklah disertakan dengan contoh yang bersesuaian dan jelas serta mudah pula difahami murid.
- Maklum balas mengenai pengajaran dan pembelajaran baik daripada murid kepada guru ataupun guru kepada murid hendaklah jelas untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik lagi.
- Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengulangan konsep-konsep penting hendaklah dijalankan agar murid lebih memahami apa yang telah dipelajari.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakna kepada murid serta dapat diaplikasikan di dalam kehidupan seharian.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah memberi penekanan kepada strategi mengingati fakta-fakta.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah juga berfokuskan kepada memodifikasikannya kepada pekerjaan.
Bagi pendekatan yang melibatkan perancangan berkumpulan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, yang paling berkesan adalah melibatkan pendekatan seperti berikut:
Bimbingan Rakan Sebaya
Rakan sebaya akan sama-sama membantu guru dalam membantu rakan lain. Ini akan dapat memberi pendedahan kepada murid-murid dalam bersosialisasi antara mereka.
Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif yang berprinsipkan pengajaran secara berkumpulan dapat membantu murid bekerjasama dalam kumpulan masing-masing. Ia lebih berfungsi kepada kumpulan yang kecil jumlah ahlinya.
Pembelajaran Kolaboratif
Pembelajaran ini melibatkan guru pendidikan khas dan guru kelas biasa bekerjasama secara berpasangan untuk merancang dan seterusnya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Kumpulan Berdasarkan Kemahiran dan Keperluan
Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan mengikut keperluan murid. Mereka ini juga akan memberi khidmat yang diperlukan kepada murid-murid.
Pendekatan Pengajaran Bertema
Pendekatan pengajaran bertema (Jabatan Pendidikan Khas 2005) digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas. Pemilihan topik atau tema mestilah bersesuaian dengan persekitaran murid. Pendekatan pengajaran bertema melibatkan perkara-perkara berikut:
- penggunaan satu tajuk umum merentasi bidang pembelajaran
- pemilihan tajuk berdasarkan kesesuaian tahap murid, situasi tertentu atau peristiwa semasa
- saling berkaitan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman baru yang diperoleh secara tersusun dan sistematik
- peluasan dan pengukuhan pengetahuan dan kemahiran
- pemeringkatan daripada yang mudah kepada yang sukar dan umum kepada yang lebih spesifik
Pemilihan tema pula perlu mengambil kira perkara-perkara di bawah:
- kesesuaian dengan kehidupan murid
- peluang untuk mengaplikasi kemahiran kepada murid seperti kemahiran asas mendengar, membaca, menulis, mengira, penggunaan komputer dan lain-lain.
- kemahiran yang diperoleh daripada tema yang diajar dapat membantu murid mendapat kemahiran penyelesaian masalah
- sumber yang mudah didapati
- mengikut musim atau peristiwa untuk memberi kesedaran dan pengukuhan serta meningkatkan pengetahuan murid
Perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran bertema:
- sumbang saran berdasarkan topik oleh murid
- kenal pasti subtopik dan pilih aktiviti yang sesuai untuk membantu murid mempercayai isi kandungan dan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam konteks yang bermakna
- mencipta peta minda untuk tema
- merancang dan menggalakkan kemahiran berfikir
- iklim dan persekitaran bilik darjah mempunyai suasana yang kondusif dan berkaitan dengan tema
Pendekatan Visualais
Pendekatan visualais (Jabatan Pendidikan Khas 2005) merupakan pendekatan yang lebih bermakna dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. Murid akan dapat melihat dengan jelas dan lebih memahami tatacara gerak kerja sesuatu kemahiran itu diajar atau ditunjukkan . Pendekatan ini merangsang murid ingin mencuba dan melaksanakannya kepada semua aspek pengajaran dan pembelajaran yang terdapat dalam semua bidang khususnya bidang pravokasional. Keperluan pelaksanaan pendekatan visualis ini ialah guru perlu menyedari bahawa murid mempunyai penglihatan yang baik dan kebolehan tahap pengamatan mereka berbeza; murid lebih memahami dengan cara menunjukkan cara sesuatu kemahiran itu diajar; dan murid lebih terangsang dan faham dengan menampakkan sesuatu langkah kerja itu dilakukan.
Prinsip pendekatan visualais ini ialah sebarang bentuk paparan yang hendak ditunjukkan hendaklah jelas dan tidak mengelirukan , jaraknya yang hampir dengan murid, diterangkan dengan jelas dan jika perlu dilakukan berulang-ulang dan cahaya yang cukup terang serta bentuk paparan itu dengan memilih warna yang sesuai. Ciri-ciri pendekatan visualais ini ialah:
- hasil pembelajaran perlu ditentukan
- aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus
- aktiviti pembelajaran disusun mengikut urutan dari yang mudah kepada yang lebih kompleks
- bahan pengajaran dan pembelajaran mesti sesuai dengan tahap penguasaan murid dan berkaitan dengan kemahiran yang dipelajari
- sesuatu kemahiran itu diajar dengan kaedah tunjuk cara yang boleh dilihat oleh mereka
- murid lebih faham dan mudah mengikut apa yang dipaparkan kepada mereka
Pendekatan Kolaborasi
Pendekatan kolaborasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu latihan kemahiran kerja, bengkel terlindung, pelbagai kaedah terapi dan aktiviti luar bilik darjah.
Latihan Kemahiran Kerja
Latihan kemahiran kerja perlu didedahkan kepada murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Matlamat utama latihan ini adalah untuk memberi kemahiran kendiri, komunikasi, sosialisasi, dan kemahiran asas berkaitan pekerjaan dalam kehidupan. Latihan kemahiran kerja boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:
Latihan Dalaman (Berbentuk Projek)
Guru melaksanakan aktiviti berbentuk projek yang telah dirancang dengan baik . Contohnya;
- perkebunan dan penjualan hasil tanaman
- aktiviti-aktiviti perdagangan seperti membuat aiskrim, biskut, kek, dan lain -lain
- memelihara ikan , burung dan lain-lain
Latihan Kerja yang Melibatkan Pihak Luar atau Kerja Luar
Guru mendapatkan barangan dari luar (kilang) untuk pembungkusan (assemble) dalam waktu persekolahan atau membuat barangan yang tertentu, contohnya hasil kraftangan murid seperti batik, bunga telur dan lain-lain untuk dijual
Latihan Kerja Sebenar
Latihan kerja sebenar ialah usaha mewujudkan situasi sebenar untuk sesuatu latihan kerja seperti mencuci kereta, mendobi, dan lain-lain yang dibuat di sekolah. Pelajar-pelajar dihantar bekerja di tempat sebenar dan pemantauan dibuat oleh pegawai kerja.
Bengkel Terlindung
Fungsi bengkel terlindung adalah untuk memberi pengalaman , latihan, penilaian, dan pekerjaan kepada individu yang berkeperluan khas. Terdapat bengkel terlindung yang beroperasi sendiri (di bawah pengurusan sekolah) atau yang mempunyai perjanjian dengan agensi yang memberi perkhidmatan berkaitan dengan kerjaya. Bengkel terlindung tidak mementingkan hasil pengeluaran tetapi lebih mengutamakan pengalaman bekerja individu, menanam minat, memenuhi keperluan sosial dan memberi kemahiran interpersonal. Di bengkel terlindung perlu ada:
- penilaian kemahiran vokasional
- latihan kerja secara umum atau khusus
- memberi peluang latihan kepada individu yang berkeperluan khas
- peluang untuk berekreasi
- perkhidmatan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan
- bekerja dalam jangka masa panjang sebelum mendapat pekerjaan lain
Aktiviti Luar Bilik Darjah
Aktiviti ini dijalankan di luar waktu pembelajaran, bertujuan untuk;
- memberi peluang untuk murid memperoleh pengalaman sebenar
- rekreasi
- bersosialisasi dan berkomunikasi
- aktiviti yang menggembirakan
- penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
- aktiviti bebas dan terancang
- meningkatkan aktiviti kemahiran vokasional
Antara aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah adalah aktiviti rekreasi yang melibatkan:
- lawatan
- motivasi
- perkhemahan
- perkelahan
- berkuda
- berenang
- aktiviti jual beli
- lawatan sosial
- kraftangan
- latihan industri