TEORI-TEORI PEMBELAJARAN
Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru ialah;
- Teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar,
- Teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini berlaku,
- Teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta berhasil.
Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan)
Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran. Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran.
Teori Pembelajaran Behaviorisme
Teori Pembelajaran Behaviorisme
Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari.
Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).
Teori Pembelajaran Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu.
Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Teori Pembelajaran Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa;
- Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya.
- Peniruan selalunya diteguhkan.
- Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.
Teori Pembelajaran Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut;
- meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid.
- membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka.
- meningkatkan daya cipta murid.
- mengembangkan minat dalam bidang seni.
- meningkatkan naluri ingin tahu murid.
Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan.
Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut;
- murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui.
- Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.
- Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya.
- Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting dengan pembelajaran berfikir.
- Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.
1 2 3 4 5 6